Dewan Malaysia Jakarta
Profil DMJ
Dewan Malaysia Jakarta atau dahulunya dikenali sebagai Wisma Malaysia merupakan fasiliti yang berfungsi sebagai asrama inap dan juga pusat kegiatan pelajar Malaysia khususnya yang berpusat di Jakarta. Dewan Malaysia Jakarta atau Malaysia Hall mula beroperasi pada tahun 1981.
Pada tahun 1992, Wisma Malaysia dipindah ke tanah milik Bahagian Pendidikan Malaysia, Kedutaan Besat Malaysia di Indonesia, yang terletak di No.30, Jalan HOS Cokroaminoto, Menteng, Jakarta Pusat. Kemudian pada tahun 2008, ia dibina semula dan dinaik taraf untuk menjadi sebuah fasiliti yang lebih lengkap.
Pada tanggal 12 Februari tahun 2012, Dewan Malaysia telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Hj. Muhyidin bin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Kini Dewan Malaysia Jakarta menjadi sebuah tempat transit untuk rakyat Malaysia yang sedang berada di Jakarta terutamanya para pelajar. Dewan Malaysia Jakarta juga menjadi lokasi aktiviti-aktiviti pelajar di Indonesia dan juga sebagai pusat operasi dan pemindahan perkara apabila terjadi bencana di Indonesia.
Dewan Malaysia Jakarta menyediakan 17 buah bilik untuk dua orang dan tiga buah dorm yang mampu menampung enam hingga lapan orang. Bilik air bersih dan lengkap juga tersedia untuk para tetamu yang berkunjung ke sini. Untuk memastikan kelancaran aktiviti yang diadakan, Dewan Malaysia menyediakan bilik mesyuarat, sebuah dewan yang dapat menampung 100 orang, dua buah surau untuk tetamu lelaki dan perempuan.
Selain itu, Dewan Malaysia juga menyediakan alat-alat perlengkapan lain yang dapat memudahkan para tetamu selama mereka menginap di Dewan Malaysia. Antaranya adalah mesin pencuci baju, alat seterika, tempat menjemur, pantri dan sebagainya.
Garis Panduan Penginapan di Dewan Malaysia Jakarta
Kelayakan Penginapan
Kemudahan Dewan Malaysia Jakarta hanya disediakan untuk warganegara Malaysia sahaja.
Kadar Pelajar Malaysia
Pelajar wajib menunjukkan kad pelajar semasa pendaftaran bagi melayakkan diri untuk kadar istimewa pelajar Malaysia.
Permohonan Penginapan
Semua permohonan hendaklah dibuat melalui Borang Permohonan Penginapan dan dihantar ke emel berikut: malaysiahall.jakarta@gmail.com
Pemohon dikehendaki menghubungi pihak Dewan Malaysia Jakarta sekurang-kurangnya 2 hari sebelum tarikh daftar masuk bagi pengesahan tempahan.
Tempoh Maksimum Penginapan
Tempoh maksimum penginapan adalah 5 hari sahaja.
Sekiranya ingin menyambung penginapan, permohonan baharu perlu dibuat dan kelulusan bergantung kepada kekosongan bilik. Waktu Daftar Masuk dan Keluar Daftar masuk (Check-in): 2.00 petang | Daftar keluar (Check-out): 12.00 tengah hari
Kemudahan Asrama
Dewan Malaysia Jakarta berkonsepkan asrama pelajar dan menyediakan kemudahan asas seperti: Selimut, Sabun dan Syampu
Keselamatan Barangan Peribadi
Pihak pengurusan tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan barangan peribadi yang disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri.
Waktu Operasi Pintu Pagar Utama
Dibuka: 5.00 pagi
Ditutup: 12.00 tengah malam
Semua tetamu wajib mematuhi waktu operasi yang telah ditetapkan.
Pematuhan Peraturan
Semua penyewa diwajibkan untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak Dewan Malaysia Jakarta.
Keutamaan akan diberikan kepada pelajar Malaysia.
Permohonan walk-in tidak digalakkan untuk kategori ini.