Sejarah Penubuhan Malaysian Students Association in Brunei Darussalam (MYSAB)
Sejarah Penubuhan Malaysian Students Association in Brunei Darussalam (MYSAB)
Malaysian Students Association in Brunei Darussalam (MYSAB) telah dirasmikan penubuhannya pada 11 Disember 2025 dalam satu majlis rasmi yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam. Penubuhan MYSAB merupakan satu inisiatif strategik bagi menyatukan pelajar Malaysia di Brunei Darussalam di bawah sebuah platform yang tersusun, berwibawa dan berorientasikan kebajikan serta pembangunan pelajar.
Dalam ucapan perasmian, TYT Datuk Mohd Aini Atan menzahirkan dukungan penuh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam terhadap penubuhan MYSAB, khususnya dalam aspek pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kebajikan pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara tersebut. Beliau turut menegaskan komitmen Suruhanjaya Tinggi untuk terus melibatkan MYSAB secara aktif dalam pelaksanaan program dan aktiviti rasmi pada masa hadapan, selaras dengan peranan persatuan pelajar sebagai rakan strategik perwakilan diplomatik Malaysia.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan Jawatankuasa Penaja MYSAB, yang telah disempurnakan oleh TYT Datuk Mohd Aini Atan, dengan iringan Pengarah Education Malaysia Indonesia (EMI), Yang Berusaha Dr. Hasnul Faizal bin Hushin Amri. Pelantikan ini menandakan permulaan fasa pengukuhan struktur organisasi MYSAB sebagai sebuah persatuan pelajar yang berfungsi secara rasmi dan teratur.
Sehubungan itu, pihak Education Malaysia Indonesia (EMI) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TYT Datuk serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam atas sokongan padu dan bantuan signifikan yang telah diberikan dalam menjayakan proses penubuhan MYSAB. Penubuhan persatuan ini diyakini akan memperkukuh ekosistem sokongan kepada komuniti pelajar Malaysia di Negara Brunei Darussalam, di samping menyumbang kepada pengukuhan imej dan kepentingan Malaysia dalam konteks diplomasi pendidikan serantau.